Karangan Jenis Laporan
 Persatuan Geografi sekolah anda telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury. Sebagai Setiausaha persatuan tersebut, tulis laporan tentang lawatan tersebut selengkapnya. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 180 patah perkataan.
Contoh Karangan
LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KILANG COKLAT CADBURY

          Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury yang terletak di Shah Alam pada 15 Jun 2008. Rombongan ini terdiri daripada empat puluh orang ahli Persatuan Geografi dan tiga orang guru pengiring, yakni Puan Saloma, Puan Zubaidah, dan Puan Siti Muqalmah. Seawal lapan pagi lagi, para pelajar dan guru yang terlibat sudah menaiki bas yang disewa khas oleh ahli jawatankuasa lawatan ini. Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja kerana antara jarak sekolah dengan kilang tersebut hanya 20 kilometer.
      Sebaik-baik sahaja tiba di kilang tersebut, rombongan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pengurus pemasaran dan promosi, Encik Soo Ming Lei. Encik Soo telah membawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga Wisma Cadbury. Di dalam bilik mesyuarat itu, kami diberi penerangan sejarah penubuhan kilang coklat secara ringkas tapi jelas. Selepas mendengar taklimat, ahli rombongan pun bersemangat tinggi dan menanyakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan kilang coklat tersebut. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan laporan lawatan ini.
        Program pascataklimat ialah memulakan lawatan ke bahagian memproses coklat. Kami dibawa ke bahagian paling penting, yakni zon penyediaan. Di kawasan itu, kami diberi pakaian berupa tudung kepala, penutup mulut, dan sarung tangan. Langkah penyediaan yang bersih dan selamat adalah penting kata Encik Soo kerana pihak kilang amat mementingkan soal kualiti coklat. Hal ini demikian kerana kebersihan menjamin mutu makanan yang disediakan. Kami melihat sendiri biji koko panggang dikisar dengan sebuah mesin. Selepas itu, koko yang lumat dimasak bersama gula dan susu yang diimport khas.
        Selepas proses penyediaan selesai, coklat dalam bentuk cecair pekat yang mencapai kepanasan seratus lima puluh darjah itu disalurkan ke paip besar yang menuju ke bahagian pemprosesan coklat prapembungkusan. Di bahagian itu, kami dapat melihat pelbagai jenis coklat berjaya diproses dengan mesin yang canggih. Mesin itu seterusnya menghantar jongkong-jongkong coklat yang sudah siap diproses menuju ke peringkat pembungkusan mengikut saiz dan perisa. Di bahagian ini, bilangan pekerja yang banyak diperlukan untuk menyudahkan proses pembungkusan sehingga proses akhir, penyimpanan.
        Sepanjang lawatan di bahagian penyediaan, kami telah mengemukakan soalan tentang kepentingan penyediaan makanan yang selamat. Sepanjang dua jam lawatan, kami berasa teruja dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kami berasa penat kerana kawasan pemprosesan kilang ini amat besar. Di bilik mesyuarat, kami diberi taklimat multimedia berkaitan perancangan masa depan kilang coklat ini. Daripada taklimat multimedia ini, kami berasa kagum akan semangat pengurusan syarikat ini yang memegang pada prinsip “genggam bara api biar jadi abu”.
          Sebelum mengakhiri lawatan, Pengarah Urusan Kilang Cadbury telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan ahli rombongan sekali gus menyampaikan cenderahati kepada kami. Selain itu, kami juga diberi baucar istimewa untuk membeli coklat dengan potongan harga sebanyak dua puluh hingga empat puluh peratus. Selepas bersalam dengan tuan pengarah, kami pun menuju ke kedai coklat yang terletak di sebelah pintu besar kilang itu. Ahli rombongan yang selesai membeli coklat bersiap sedia menaiki bas untuk pulang ke sekolah.
           Rombongan ini tiba di sekolah pada jam dua belas tengah hari. Cikgu Saloma yang bertugas menjaga disiplin pelajar berpuas hati dengan kelakuan ahli rombongan walaupun ada segelintir daripada mereka yang mulut murai. Akhirnya, murid-murid pun pulang ke rumah masing-masing. Lawatan sambil belajar seperti ini amat bermanfaat kepada pelajar. Selain mendapat ilmu dan pengalaman, kami juga berjaya menimba pengetahuan tentang pengurusan kilang. Hal ini ibarat sambil menyelam minum air. Kami berharap lawatan umpama ini akan dijadikan agenda tahunan Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.
Laporan disediakan oleh,                                                                              29 JUN 2008.
                                    Amalina
(SITI NUR AMALINA BINTI AZMAN DARUS)
Setiausaha Persatuan Geografi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.
Credit kepada blog Cikgu Tan dan blog Adibah Azman. Terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

SIMPULAN BAHASA MELAYU TINGKATAN 1

TATABAHASA TINGKATAN 1